Saturday, 9 June 2012



Map Lokasi Kampung Perdana Nanga Selidap, Bintangor

Kampung Perdana Nanga Selidap Bintangor

Source: http://wikimapia.org/5218516/ms/Tr-Ngali-Nanga-Selidap
Posted on: 04-06-2009


Rumah Ngali terletak di persimpangan dua sungai iaitu Batang Rajang dan Sungai Selidap (Coordinates: 2°10'22"N 111°35'31"E). Ia terletak di hilir pasar Bintangor. Perjalanan dari pasar Bintangor ke Rumah Ngali mengambil masa 20 minit dengan menggunakan perahu/bot enjin sangkut 15 kuasa kuda. Sejumlah 17 buah keluarga/pintu mendiami Rumah Ngali. Pekerjaan utama penduduk adalah sebagai petani. Padi merupakan tanaman utama. Sebagai pendapatan sampingan, penduduk menangkap ikan dan menternak ayam/itik/babi. Anak-anak dari Rumah Ngali bersekolah rendah di SK Sungai Selidap dan bersekolah menengah di SMK Bandar Bintangor/SMK Meradong. Terdapat kemudahan Elektrik dan Telefon Awam di sini. Kini kebanyakan penduduk menggunakan telefon bimbit bagi memudahkan lagi perhubungan. Talian Celcom, Digi dan Maxis dapat digunakan walaupun taliannya kurang jelas. Di Rumah Ngali tidak terdapat kemudahan air dan Jalan Raya. Penduduk mandi di sungai dan minum air hujan. Pada musim kemarau air sungai masin dan hujan pun kurang. Sekiranya terdapat kemudahan jalan raya maka mudahlah bekalan air disambung ke Rumah Ngali. Jalan raya utama Pasi-Selidap terletak hanya beberapa kilometer di belakang Rumah Ngali. Deruan enjin lori dapat didengar dengan jelas pada waktu petang (sunyi). Secara keseluruhannya, Rumah Ngali telah membangun seiring dengan arus permodenan. Pendidikan amat ditekankan oleh ibubapa kerana ia adalah satu-satunya cara untuk lari dari kemiskinan dan seterusnya meningkatkan taraf hidup keluarga. Kekurangan kemudahan asas seperti air dan jalan raya tidak menjadi penghalang untuk terus maju. Semoga Kemudahan air dan jalan raya dapat dinikmati pada masa yang akan datang...